Subscribe via email
Thursday, April 16, 2009
Angkasa gagal kupas misteri 'UFO' di Larkin
Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
Agensi sah objek berkilauan hijau, putih bukan lampu limpah
KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara (Angkasa) mengesahkan objek bercahaya hijau dan putih di ruang udara Larkin, Johor Bahru, baru-baru ini, bukan cahaya lampu limpah berkuasa tinggi yang dipancarkan ke langit dan tidak menolak kemungkinan objek itu tidak dapat dijelaskan buat masa ini.
Ketua Pengarahnya, Dr Mustafa Din Subari, berkata jika cahaya di ruang udara itu daripada lampu limpah, biasan cahayanya di langit pasti dapat dilihat menerusi rakaman video berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak dapat menidakkan dakwaan penduduk objek berkenaan adalah pesawat makhluk asing atau Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO) tanpa sebarang bukti nyata.
"Angkasa tiada bukti untuk menidakkan dakwaan penduduk terbabit apatah lagi objek berkenaan tidak muncul lagi di kawasan terbabit selepas ia dilaporkan media. Ini menyukarkan kajian terperinci dibuat.
"Apa yang pasti, berdasarkan analisis rakaman video penduduk, objek bercahaya itu bukan cahaya lampu limpah. Namun, kami juga tidak dapat mengesahkan sama ada objek bercahaya berkenaan adalah cahaya daripada objek di bumi atau bukan.
"Visual rakaman tidak jelas menyebabkan sukar untuk kita membuat kesimpulan. Tetapi, kita tidak menolak kemungkinan objek berkenaan adalah unsur yang tidak mampu dijelaskan buat masa ini," katanya ketika dihubungi semalam.
Khamis lalu, Berita Harian melaporkan beberapa objek bercahaya hijau dan putih di langit didakwa sebagai UFO, kelihatan berlegar-legar di ruang udara Larkin di Johor sehingga menggemparkan sebahagian penduduk di situ sejak beberapa hari lalu.
Pengurus perhubungan awam sebuah institusi pengajian tinggi, Zaid Zain, 43, serta adiknya, Zamri, 30, yang menyedari keganjilan objek itu berjaya merakam objek bercahaya berkenaan menggunakan kamera digital.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dilaporkan turut menafikan kemungkinan objek itu adalah pesawat peninjau tanpa pemandu (UAV) negara jiran yang menceroboh ruang udara negara ini kerana radar jabatan itu mampu mengesan objek di udara yang saiznya enam meter panjang atau lebar.
Dr Mustafa berkata, selain menganalisis video itu, Angkasa melakukan beberapa penyiasatan, termasuk menemuramah saksi buat rakaman visual berkenaan.
Katanya, Angkasa akan merekodkan kejadian berkenaan sebagai satu penemuan objek kajian dan akan turun ke lokasi kejadian jika ada laporan kejadian sama dilaporkan penduduk.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20090414225549/Article/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment